Okay anda baru kehilangan insan tersayang. Atau membantu menguruskan jenazah orang Islam. Anda berada di Kuching, Sarawak. Jadi ini adalah senarai proses yang dilalui untuk menguburkan jenazah.
1. Mengesahkan kematian.
- Tulis masa setepatnya anda mendapati si mati meninggal dunia.
- Tulis penyebab kematian.
- Ambil gambar/video jika perlu (untuk kes kemalangan atau sebagainya. jika ngeri, ambil dari kejauhan. Jika perlu pelihara aurat: censor atau ambil dari jauh).
- Hubungi ambulans/hospital di nombor 999 - mereka mempunyai ahli yang dapat mengesahkan si mati memang telah meninggal sepenuhnya atau tidak.
- Catat masa kematian yang diumumkan beliau/mereka.
- Catat sebab kematian (jika perlu). Ambil laporan kematian (jika ada).
- Dapatkan nama penuh ahli yang dihantar oleh hospital/ambulans. Tuliskan dengan ejaan penuh.
2. Asingkan (jika tidak sempat ditanam hari ini).
- Alaskan lantai dengan plastik yang besar atau tikar getah. Membantu mengelap apa yang basah.
- Sediakan tilam bersaiz bujang untuk menempatkan jenazah.
- Bantal untuk kepala jenazah.
- Selimutkan jenazah agar tidak sejuk.
- Pakaian: Ikut kebiasaan di kawasan anda. Ada yang telanjangkan tapi dibalut dengan kain tapeh batik. Ada yang biarkan dengan pakaian, nanti diberi mandi baharu nak buka semua.
- Jaga dan temani jenazah. Jangan dibiarkan jenazah keseorangan. Penuhi masa dengan bacaan surah Yasin atau al Quran oleh diri sendiri itu lebih baik dari mendengar bacaan dari USB/radio bersurah/app Quran handphone.
- Kedua belah tangan didakapkan didada seperti ketika solat.
- Buat persediaan kepada jenazah jika perlu (contohnya kain kecil untuk mengikat rahang ke kepala, mengikat tangan ke tangan, atau sebagainya).
- Lapkan badannya jika perlu (darah, nanah, luka, kencing, tahi).
3. Buat laporan Polis.
- Bawa bersama Laporan kematian (jika ada).
- MESTI bawa bersama Kad Pengenalan si mati.
- MESTI bawa bersama Kad Pengenalan diri sendiri.
- Buat laporan jika boleh dengan membawa teman/saksi. Lagi bagus jika pembuat laporan adalah orang tua-tua.
- Setelah laporan dibuat, catatkan No. Repot. (contohnya GITA / ###### / ##)
Antara contoh kandungan laporan:
"Pada [tarikh] jam [masa jam], bertempat di [alamat penuh lokasi/rumah si mati meninggal], [hubungan dengan pengadu (ibu mertua/ayah/suami/anak/etc)] bernama [nama penuh si mati], No. Kad Pengenalan [No KP penuh si mati] dan berumur [usia si mati] telah disahkan meninggal dunia oleh [ahli yang dihantar/"pihak ambulans Hospital Umum Sarawak"] iaitu [Nama penuh pihak yang mengesahkan kematian] kerana [sebab kematian/sakit tua]. Jenazah akan dikebumikan pada hari [tarikh dikebumikan] di [lokasi pengebumian, contohnya Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching]. Saya membuat laporan untuk rujukan [JPN/atau pihak berkenaan] bagi mendapatkan sijil kematian. Sekian laporan saya."
4. Diingatkan untuk ambil semua gambar dokumen berkaitan, depan dan belakangnya. Gambar Kad Pengenalan si mati, Laporan Polis dan sebagainya.
Seperti kejadian berlaku pada kamekorang, ada terlupa dokumen indah. Nasib abam memahami dan menerima maklumat dokumen pada gambar.
5. Daftar permohonan pengebumian.
Ketika hari kejadian, memang kami langsung tidak mengetahui lokasi sebenar. Tersalah masuk ke bangunan HIKMAH. Lokasi untuk mendaftar ialah ke Perkhidmatan Pengurusan Jenazah, Lembaga Amanak Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).
Sila ke masjid Jamek > bahagian kanan masjid (area yang almost menghadap bangunan HIKMAH) > ada tangga menuju ke bawah (menuju tempat wuduk, pejabat LAKMNS, taska/tadika kanak-kanak, tandas) > turun tangga terus belok kiri > berjalan nunnnn jauh ke belakang, cari pal signage berwarna kunin 'Bahagian Masjid Jamek Negeri Sarawak' > duduk/berbaris dekat kaunter kecil di luar pintu opis sia.
- Tidak perlu membawa wang tunai/cash untuk tujuan ini (maklumat pada 13 April 2023). Mereka hanya menerima transaksi atas talian agar anda dapat kepilkan/attach pdf resit pembayaran/pindahan wang).
- Maklumat operasi perkhidmatan pengurusan jenazah LAKMNS saya akan attach dalam post ini.
- Standby bersedia dengan pen ink hitam. Boleh juga biru kalau nak. Untuk mengisi borang.
- Ada dua borang mereka beri untuk kita isi. Borang lagi satu iaitu borang bayar-bayar mereka isi dahulu, lepas tu baru bagi kita isi. Jadi ada 3 borangla).
- Borang 1: Borang Permohonan Pengebumian Tanah Perkuburan Islam Semariang memerlukan maklumat-maklumat ini:
- Butir-butir jenazah: Nama penuh, jantina, no Kad Pengenalan, warganegara, bangsa, alamat terakhir si mati, tarikh meninggal, umur, status (balu/isteri/suami/janda/duda/bujang), No. siri laporan polis, anggaran masa pengebumian.
- No plot dan no lot Kubur biarkan kosong. Pihak LAKMNS akan isikan.
- Borang 2: Surat Akuan Janji Pembinaan Napor dan Sapat di Tanah Perkuburan Islam Semariang.
- Isikan nama penuh orang yang mendaftarkan si mati,
- Isikan nombor kad pengenalan orang yang mendaftarkan si mati,
- potong mana hubungan yang tidak berkenaan,
- isikan nama penuh jenazah.
- Borang tersebut mengandungi syarat-syarat dan peraturan pembinaan napor dan sapat untuk kubur Semariang.
- Saiz dan rekabentuk juga diberikan.
- Ketika masa pendaftaran, pihak kami dimaklumkan pada ketika itu, napor dan sapat kayu adalah percuma. Bahan selain itu ditanggung sendiri kosnya. Sila bertanya untuk kes anda sendiri. Rezeki masing-masing.
- Sebenarnya pihak LAKMNS mempunyai kuasa dan akan bertindak sewajarnya jika napor dan sapat tidak memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.
- Turunkan tandatangan orang yang mendaftarkan (borang ya ada bersambung bahagian belakangnya),
- Tuliskan nama penuh, tarikh hari itu, dan nombor telefon yang confirm boleh dihubungi.
- Borang 3: Borang Maklumat / Laporan Kematian.
- Borang ini mempunyai maklumat bayaran perkhidmatan pengurusan jenazah oleh LAKMNS.
- Jika LAKMNS tidak membantu mengisi, anda perlu isi:
- Maklumat Pelapor: Nama penuh, hubungan dengan Almarhum/Almarhumah, alamat, no KP, Tarikh melapor, No telefon yang confirm boleh dihubungi.
- Maklumat Almarhum/Almarhumah: Namanya, no KP nya, Alamat rumah nya.
- Jenazah diuruskan: Isi tarikh. (Waktu ini kami tidak dipaksa mengisi masa, tapi ada ditanya oleh pihak LAKMNS jam berapa sebab mereka akan dahulukan siapa awal, siapa kemudian. Pada masa tersebut cuma ada dua jenazah dan abang pelapor tersebut laju mengisi. Jadi beliau mendapat slot jam 9:00 pagi. Kami yang kedua mendapat slot 10:00 pagi.
- kami tiba di sana jam 0730 hours, memang nombor satu berbaris paling depan, tapi itulah. Slow mengisi... (Aku ambik gambar. Semua digambar ku tek. Patutla jadi slow. Pa imagine sidak pegang borang ya, duhal tek kita yang ambik yang megang borang-borang ya tek. Namalah bok kalak pertama kali ngereja benda camtok).
- Oleh kerana perkara lain semua kami selesaikan, maka urusan dengan LAKMNS hanyalah urusan pengebumian sahaja. Jadi keperluan adalah Liang Lahad, Sedia ada, 1 liang, RM 200.00.
- Kemudian item 5, Pengurusan: Hari bekerja, 1 urusan, RM 60.00.
- Hari Sabtu Ahad Cuti umum lain caj (lebih mahal). Lagi mahal caj pengebumian waktu malam dan pengebumian waktu malam selepas jam 9:00 malam.
- Jumlah kesemuanya (untuk kes kami) ialah RM 260.00.
- Tandatangan pelapor yang berjanji akan menjelaskan bayaran di atas dalam tempoh 7 hari dari laporan ini. Tulis nama penuh dibawah sign, dan isi tarikh hari itu.
- Pihak LAKMNS juga sama menandatangani borang tersebut, isi nama penuh, tarikh hari itu.
- Bayaran tunai tidak diterima sama sekali. Maklumat bank ada tertulis dalam borang ini.
- LAKMNS, bank: RHB, no akaun: 21125460004765.
- Ada kertas A4 laminated yang mempunyai kod QR. Tapi itu adalah kod QR ke whatsapp LAKMNS. Untuk anda menghantar pdf bayaran yang telah dibuat.
- Kod QR tersebut ada link = [ wa.me/+601111875249 ].
Setelah anda transfer ke RHB LAKMNS, sila whatsappkan:
- gambar laporan polis si mati. (Jangan attach dari Gallery, tapi attach sebagai Document supaya kualiti gambar tidak pecah. Jika attach dari Gallery memang gambar pecah-pecah. Tulisan pada repot polis susah dibaca).
- reply-kan gambar tadi dengan nombor siri pada Borang 3. Borang yang ada maklumat berapa bayaran. Lokasi No Siri ada di kanan, atas. Jika borang kami, ianya ink berwarna merah dan ada 5 angka kesemuanya.
- Ini akan membantu LAKMNS mengenalpasti samada pelapor sudah bayar ka belum untuk urusan pengebumian.
- terakhir, attachkan resit fund transfer/duit now dari bank anda kepada RHB tadi. Tuliskan 'Bayaran bagi [nama si mati], No Siri: [no siri pada borang nombor 3 tadi].
Selesai untuk urusan LAKMNS.
6. Oleh kerana kami menguruskan sendiri, antara perkara yang perlu diatur adalah:
- Berjumpa dengan pihak pengurusan surau di kampung dan memberitahu hajat.
- Kami kemudiaanya mengemas meja-meja kerusi-kerusi tidak digunakan. Dipindahkan ke ruangan lain.
- Kami keluarkan tempat memandikan (besi), hos laluan air keluar tempat mandi, meja untuk mengemas jenazah, penghalang dinding, hos air panjang, baldi besar untuk menakung air.
- Tikar mengkuang besar yang cover habis badan si mati. Sebab selepas dikafankan, tikar mengkuang itu memang kering, dan memudahkan jenazah dipindah ke atas stretcher dan dibawa ke dalam surau untuk disolatkan.
- Saya kurang pasti mengenai kemudahan kain kafan. Datang-datang barang sudah ada. Sila periksa samada surau ada menjual kelengkapan atau anda perlu beli sendiri. Kain kafan, kapur barus, sabun? dan sebagainya.
- Perlukan kakak/abang/ustaz/ahli yang memang pandai memandikan, mengemaskan, membalut kain kafan. Samada anda buat sendiri atau ada bantuan dari pihak lain. (Jangan lupa bayaran atau sedekah kewangan kepada mereka. Sila tanya awal-awal dengan pengurusan surau/masjid itu tadi).
- Kami tidak pandai, tapi dibimbing oleh kakak di situ. Proses yang sedikit kritikal ialah mengangkat mayat dari van ke tempat mandi, ke dalam surau, kembali ke van. Jenazah perlu diangkat dari stretcher ke tempat mandi. Selesai dimandikan, diangkat ke meja untuk dikemaskan. Perlu tenaga mengangkat.
- Kami diberi peluang memandikan. Dipesan untuk baca doa, selawat. Mula dari atas kepala menuju ke kaki. Ada yang cakap one go, tak kisah kaki kanan. Ada yang siram kepala > kaki kanan dulu, sambung paha kiri ke hujung kaki kiri. Ikutla bagaimana anda dibimbing. Tak semua juga akan memberi anda peluang memandikan.
- Mereka memang dah terlebih dahulu bersihkan semua. Kami juga dipanggil untuk belajar membersihkan jenazah. Untuk jenazah perempuan, memang HANYA perempuan saja yang terlibat. Baik dari kakak sehingga ahli keluarga. Jika jenazah lekaki pun sama. Tiada jantina selain dari jenazah di situ. Kecuali part siram-siram air. Itupun jenazah dah ditutup, dah dibersihkan dimandikan dahulu oleh kakak/ustazah.
- Selesai mandi, diangkat ke meja sebelahnya untuk dikafankan. Perlu tenaga untuk mengangkat. Tempatkan lokasi kepala untuk chun-chun ke lubang kepala pada kain kafan. Tidak terlalu rendah, terlalu tinggi. Anda memang dipanggil lagi untuk setting yang chun-chun.
- Pihak mereka mengemaskan. Kapas. Wangian. Balutan.
- Kemudian kami dipanggil untuk cium dahi buat kali terakhir. Semua mahram jadi tak batal wuduk beliau. Suami pun lama sudah meninggal.
- Jenazah dibawa ke dalam surau untuk disolatkan. Solat hanya berdiri sahaja. Dan kena ambil wudukla. Ikut imam saja kalau tidak tahu apa-apa. Kalau boleh google dulu masa mereka sibuk memandikan. Ada selawat yang diucapkan antara takbir dan selawat tahiyat akhir untuk dibaca.
- Usai solat, jenazah diangkat, belum bergerak lagi, tapi dibaca selawat. Itu sebelum keluar surau. Keluar surau ada 2 kali lagi gerak berhenti gerak berhenti. Baca selawat bila berhenti. Lepas tu angkat ke van.
- Rasanya abam yang imam solat jenazah juga diberikan saguhati/upah? Saya kurang pasti sebab tidak menguruskan hal itu.
- Naik van dan terus menuju ke tanah perkuburan.
- Standby 2 orang ahli keluarga dalam van tersebut. Yang lain guna kenderaan sendiri.
7. Pada masa memandikan/solat jenazah, ahli keluarga lain dah bersedia dengan batu nisan. Baldi untuk siram di kubur. Mungkin bunga-bunga untuk ditaburkan/dicampur dalam air. Di Tanah Perkuburan Semariang memang sudah ada paip air untuk ambil air. Mungkin boleh standby bersedia dengan air sendiri di rumah. Takut tiada air ka apa. Standby air mati botol ka.
8. Ketibaan kami di situ, lubang kubur sudah pun digali oleh saudara Daus dan Ali. Untuk kes kami, tanah adalah becak. Sedikit berlumpur. Jadi mungkin anda boleh bersedia dengan kasut but kunin Phua Chu Kang yang tinggi. Pakaian juga untuk siapa yang mengangkat jenazah dari stretcher bawa masuk ke liang lahad juga hendaklah bersesuaian. Anda memang akan bertanah.
- Selipar tidak digalakkan sebab memang tenggelam dengan kaki. Saya sendiri kemudiannya berkaki ayam.
- Perhatikan tanah yang dipijak. Jika terdapat seperti air likat berwarna merah-merah oren, jangan dipijak. Kami dipesan di situ, itu adalah darah. Kalau terkena kulit, baunya ada lambat nak hilang. Jadi pijaklah tanah yang bersih.
9. Perlu 3 orang untuk standby dalam lubang kubur. Pihak yang mengangkat jenazah akan pindahkan kepada mereka yang didalam kubur. Perlu 3 sebab nak pegang kepala dan bahu, seorang di tengah badan, seorang menerima bahagian kaki.
- Jika ringan tiada masalah. Jika sedikit berat, kena perlahan-lahan dan bekerjasama.
- Kepala jenazah ditetapkan ke dalam liang lahad. Badannya mengiring ke kanan. Maksudnya bahagian kanan badannya di bawah, bahagian kiri badan jenazah di atas.
- Mukanya facing menghadap lurus ke depan.
- Kami dipesan untuk buka ikatan. Kemudian pada muka jenazah diletakkan tanah kubur pada hidungnya, kemudian ditutup balik dengan kain kafan. Tanah tidaklah terlalu besar. Untuk menutup hidung, Tidak juga disumbat ke lubang hidung, hanya diletakkan sahaja.
- Ikatan tali kafan memang dibiarkan terbuka. Tidak diikat.
- Sekeping plywood diturunkan yang menutup atas jenazah habis habisan, dari kepala ke kaki.
- Kemudian tanah kubur dimasukkan perlahan lahan (jangan terlalu kasar sehingga bising berdentam dentum). Setelah semua plywood ditutup tanah, tanah dimasukkan secara biasa sehingga tinggi/penuh.
- Batu nisan dipacakkan. Ada masking tape ditampal pada batu nisan yang juga ditulis nama si mati. Kelak tanda nama yang proper akan ditampal. Jadi ditanda yang sementara dahulu.
- Lubang-lubang kecil tanah ditutup. Dikemaskan sebaiknya. Tanah kubur dibentuk sebaiknya.
- Ingatlah, tanah belum mendap sepenuhnya. Jadi bersedia untuk tambah lagi tanah untuk kubur tadi. Tanah memang akan turun. Tapi perlahan. Dan juga turun kerana hari hujan.
10. Imam solat jenazah tadi juga membaca talkin. Hayati. Dan sedari diri.
Anda mungkin akan terkejut nama almarhum/almarhumah dibaca 'Nama' anak 'Nama', bukannya 'Nama binti/bin Nama'. Buku panduan talkin dibaca abam memang tulis 'Nama' anak 'Nama'...
Saya kurang pasti adakah pembaca talkin diberitahu nama bapa si mati atau nama ibu si mati.... Macam pernah dengar nama ibu. Tapi pada hari tersebut memang nama bapa disebutkan.
11. Anda mungkin perlu standby plastik sampah besar atau lapik plastik besar untuk memudahkan ahli keluarga lain bergerak dari lokasi menunggu menuju ke kubur untuk tujuan menyiram. Biasalah ada terpakai high heel, ada pakai kasut sukan mahal, kasut kulit. Kesian nak basuh sebab terkena tanah becak. Hamparkan lapik dari tempat berjalan hingga menuju tepi kubur.
- Siram kubur. Tabur bunga?
12. Proses hari itu pun selesai. Van jenazah tadiiiiiii dah balik. Kami kembali ke surau untuk menyimpan kembali tempat mandi, meja-meja. buangkan air lebihan yang tidak dipakai. Hantar balik stretcher. Kemas balik surau. Proses seterusnya ialah majlis tahlil. Bersedia untuk menjamu yang datang ke rumah. Proses seterusnya juga ialah pembinaan napor yang hanya dibuat selepas 100 hari dari tarikh pengebumian. Jadi uruskan awal. Tulis reminder dalam kalendar handphone atau sebagainya. Proses lain yang berkaitan untuk sijil kematian/memerlukan sijil kematian. Untuk tuntutan harta pusaka? Khairat kematian? Takaful? Apa-apa yang berkenaan.
Saya rasa itu saja perkhabaran untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Semariang, Kuching, Sarawak. Kemaskini pada 19 April 2023. Gambar nanti akan dimuatnaik. Jika dah ada gambar, memang dah upload lah ya. Buat masa ni tak sempat. Saya akan menambah lagi apa yang patut jika perlu.
Semoga bermanfaat kepada semua. Jika ada teguran, sila tulis di bahagian komen. Bahasa Sarawak pun boleh. Sikda masalah.
Assalamu'alaikum warahmatullah. Doakan nenek empuanku, juga nyangkong sekali doakan kita semua meninggal sempat mengucap syahadah, dalam keadaan baik, diharamkan seksa kubur, diampunkan segala dosa-dosa besar dosa kecil dosa masa dahulu, dosa masa kini, dosa akan datang semuanya diampunkan, dipermudahkan laluan Sirat, dimasukkan ke syurga tanpa hisab. Amin, Amin ya rabbal 'alamin.
No comments:
Post a Comment